
Cinta…apa yang kita mengerti tentang cinta? Adakah selama ini kita menterjemahkan cinta kita dengan tepat sesuai dengan maksudnya?
Cinta pada definisi dan pentakrifan yang dibuat oleh manusia adalah satu perasaan halus yang berputik di dalam jiwa manusia kesan daripada wujudnya kasih dan sayang…
Cinta pada pandangan manusia adalah satu perasaan yang agung yang sangat didambakan oleh setiap manusia…
Kerana cintalah, wujudnya kita…
Kerana cintalah, lahirnya kita ke dunia ini…
Namun, sebenarnya siapakah yang paling berhak kita curahkan sepenuh perasaan cinta ini?
Ibu bapa?
Kekasih?
Saudara?
Hakikatnya, kita terlupa….cinta kita kepada ibu…cinta kita kepada ayah…dan mungkin cinta kita kepada sesama manusia…tidak lain dan tidak bukan adalah manifestasi perasaan sebenar yang sepatutnya kita serahkan hanya padaNYA Yang Maha Esa dan Maha Agung.
Kerana DIA kasihkan kita, kita tercipta…
Kerana DIA cintakan kita, diberiNYA kita nyawa..
Kerana kasih dan cintaNYA DIA kepada kita, maka dikurniakan kepada kita segala macam nikmat yang tiada terhitung.
Lantaran kasih dan cintaNYA DIA kepada kitalah dipercikkan ke dalam hati kita daripada 99 NamaNYA sifat Ar-Rahim iaitu sifat penuh kasih sayang yang membuatkan kita mengerti apa itu perasaan kasih dan sayang…
Kerana kasih dan sayangnya DIA kepada kita, maka hari ini kita mengenali apa itu kehidupan…
Lantas, tiada cinta lain yang seharusnya kita dambakan melainkan cintaNYA…
Sesungguhnya betapa tingginya kiasan cintaNYA kepada kita…namun kita tidak pernah menyedari selama ini…
Ditumpahkan rasa kasih dan sayangNYA melalui percikan sifatNYA iaitu Ar-Rahim dan sifat Al-Wadud ke dalam jiwa seorang ibu dan bapa terhadap anak mereka…
Namun, layakkah kita mendapatkan cintaNYA seandai diri kita masih bergelumang noda-noda hitam menjalar diri?
Siang dan malam berlalu…kadang-kadang kita terlupa menyebut namaNYA…
Detik masa berputar…namun kita terlupa mensyukuri nikmatNYA…sedangkan DIA setiap waktu mengingati kita dan memberikan kita peluang untuk terus hidup…
Ya Allah…pandulah hati ini
Ya Allah…doronglah hati ini
Agar aku sentiasa mencintaimu..
Agar aku sentiasa mengejar redhaMU
Terima kasih wahai Allah…di atas segala kasih sayangMU terhadapku selama ini…
Aku bersyukur kerana dilahirkan sebagai mukmin dan diberikan kesedaran untuk mengetuk pintu cintaMU…
Bimbinglah daku wahai Allah
Agar aku tidak lupa dan leka
Agar setiap detik dan saat aku menjadi insan yang bersyukur
Kerena aku mendambakan cintaMU………